Kedah Isytihar Mek Mulung Sebagai Seni Warisan Kedah
http://sibersatu.blogspot.com/2014/10/kedah-isytihar-mek-mulung-sebagai-seni.html
JITRA – Kerajaan negeri malam tadi mengisytiharkan teater tradisional, Mek Mulung sebagai Seni Warisan Kedah bagi merintis jalan untuk diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh Unesco, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Katanya keputusan itu dibuat dengan mengambil kira fakta bahawa Kedah sebagai satu-satunya negeri yang mempersembahkan seni persembahan itu sejak 400 tahun lalu.
Mukhriz berkata, sehubungan itu pelbagai usaha akan digerakkan kerajaan negeri dengan kerjasama pihak tertentu untuk mempromosi teater tradisional ini ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Persembahan Mek Mulung telah dimainkan daripada generasi ke generasi selama lebih 400 tahun di Kedah.
“Dengan pengiktirafan ini ia sekali gus membuka jalan untuk membolehkan Mek Mulung suatu hari nanti dipertimbangkan Unesco sebagai Warisan Dunia,” katanya semasa berucap merasmikan sidang kemuncak Penulis Malaysia dan pelancaran Buku Mek Mulung dekat sini.
Mek Mulung merupakan teater tradisional masyarakat Melayu yang menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam suatu persembahan dengan Raja atau Pak Mulung sebagai watak utama dibantu Peran Tua, Peran Muda, Peran Kiau dan ahli nujum yang dipanggil Tok Wak.
Sementara itu, sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada industri penulisan negara, Mukhriz turut mengumumkan penubuhan Yayasan Penulis Malaysia sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diharap dapat menggerakkan indutri itu secara lebih aktif.
“Objektifnya adalah untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa, dan seterusnya membantu Malaysia mencapai matlamat sebagai negara maju bertamadun besar suatu hari nanti,” katanya. – BERNAMA